Orang Muda dan Politik
Sesekali bercerita tentang tajuk ni, orang muda dan politik. Aku kadang kadang menyampah dengan perangai orang muda yang bercakap tentang politik membabi buta. Nampak sangat ketidakpekaan terhadap isu semasa di sekeliling dan justafikasi yang kurang matang serta “general knowledge” yang cetek. Aku sedih melihat sesetengah pemuda pemudi yang langsung tidak mengambil berat tentang isu yang berlegar dalam masyarakat. Bercerita tentang politik bukan bermaksud kita taksub atau pengikut setia sesetengah sosok tokoh politik dalam negara, namun ianya lebih bersifat patriotisme dan sikap peduli akan apa yang berlaku dalam negara. Semangat kecintaan terhadap negara yang mendalam inilah akan menjadi pembakar semangat anak muda untuk membawa negara ke satu aras yang lebih maju.
2022 pun sudah sampai ke separuh jalan, Undi 18 pun sudah dilaksanakan. Kita leka dengan platform sosial dan akitiviti yang kurang berfaedah, malah ada yang terjerumus dalam kancah jenayah dan berpeleseran. Bagaimana orang muda hendak mendukung negara jika kita terus leka dek dibuai mimpi keseronokkan alam maya. Jadi tidak hairanlah jika kita sekarang ketandusan pemuda pemudi yang bakal mengemudi negara yang berkualiti. Jangan dikemudian hari kita mencaci maki pembesar dan tokoh politik yang” kurang cerdik” serta membuat kenyataan bodoh atas tindakan mereka yang tidak menguntungkan rakyat. Ini semua bermula dari orang muda itu sendiri. Suka menyalahkan itu dan ini namun tidak peka apa yang berlaku di sekeliling (isu negara). Di sinilah aku melihat betapa kesedaran itu akan berlaku, namun ianya sudah terlambat. Buat yang tersedar awal, aku ucapkan tahniah!
Dunia Muda
Perjalanan aku bermula dengan Diploma di Sebuah Universiti swasta tempatan, yang majoritinya lebih kepada kaum cina, sedikit melayu dan india, tapi mempunyai angka pelajar antarabangsa yang banyak. Aku selalu duduk berborak dengan kawan kawan berbilang bangsa dan kaum. Topik perbualan lebih kepada hiburan, trend, “style” hidup, tempat menarik , game, dan “assignment” (Macam Biasa). Namun dalam 5 tahun aku menuntut di sana, jarang sesekali topik isu semasa dibincangkan. Menjadi lumrah seseorang pelajar berborak mengenai hiburang dan sebagainya, tapi kepekaan kepada isu dalam negara menunjukkan patriotisme yang terhakis dari anak muda masa kini. Dimanakah silapnya, adakah kita disekolah tidak terdidik dengan rasa kecintaan kepada negara yang tinggi? Tepuk dada tanya diri sendiri.
Tidak salah kita tidak melibatkan diri dalam politik dan isu semasa. Namun kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita tidak harus diabaikan. Jangankan nanti apabila barang naik, itu naik, itu dan ini naik. kita salahkan pada kerajaan dan pemimpin serta tokoh politik yang mengambil kesempatan dari kelekaan kita. Kita patut salahkan diri kita yang alpa dan leka, dan tidak mahu mengambil berat dan tidak ingin membuat perubahan. Salahkan diri kita yang ego, keras kepala dan pemikiran dibawah tempurung yang menganggap politik adalah untuk golongan orang tua. Mentaliti seperti inilah yang menyebabkan negara kita dihuni oleh ahli politik yang kotor, tidak efektif dan mengambil kesempatan atas kesempitan dan terus menerus kekal dalam arena politik negara. Renungkan.