Karangan Kepentingan Mempelajari Sejarah
Mata pelajaran Sejarah sering dikatakan susah oleh para pelajar masa ini. Mereka tidak memahami bahawa Sejarah amat penting untuk masa depan negara. Jadi, mereka yang gagal untuk mempelajari sejarah mereka pasti mengulangi kesilapan orang kita pada masa dahulu. Dengan mempelajari sejarah kita dapat mengenal asal usul kemunculan tulisan, bandar, sistem pemerintahan, dan sebagainya. Setiap rakyat Malaysia khususnya anak muda harus mengetahui latar belakang negara kita dan pembentukan negara Malaysia itu sendiri kerana ini merupakan sejarah negara kita. Oleh itu, terdapat pelbagai kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah.
Kepentingan mengajarkan Sejarah yang utama ialah Sejarah dapat menjadi iktibar kepada kita supaya tidak melakukan kesalahan yang pernah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka yang tidak mempelajari sejarah berkemungkinan mengulangnya dan membawa kepada kejatuhan negara. Menurut saranan ahli falsafah, mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya. Kesilapan orang terdahulu sewajarnya diambil berat dan bukannya dipandang enteng sahaja kerana natijahnya amat menyedihkan kita. Buktinya, pada zaman pendudukan Jepun, orang kita terdahulu hidup terseksa dan dibunuh tanpa belas kasihan akibat mempercayai janji palsu Jepun. Sesungguhnya, seseorang yang mempelajari sejari dapat mengambil iktibar daripadanya.
Selain itu, mempelajari Sejarah dapat menimbulkan rasa patriotisme dalam kalangan pelajar. Jika kita lihat keadaan pada hari ini, masyarakat tidak lagi menghargai jasa-jasa pejuang tanah air kita yang telah bersusah payah membebaskan negara kita daripada dijajah. Akibat daripada itu, semangat patriotisme semakin terhakis dalam diri masyarakat kita terutamanya golongan pelajar. Sambutan hari kemerdekaan juga sering tidak diendahkan oleh para pelajar hari ini kerana mereka menganggap sambutan itu tidak mendatangkan apa-apa faedah sedangkan sambutan itu wajib diadakan untuk menghargai jasa-jasa pejuang tanah air. Mereka harus sedar bahawa segala kesenangan dan kebebasan yang diperoleh oleh mereka pada hari ini ialah hasil usaha pewira-pewira negara kita. Dengan itu, nama mereka sentiasa meniti di bibir masyarakat kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Kepentingan yang seterusnya ialah generasi muda dapat menyedari kepentingan perpaduan kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana kestabilan negara bergantung pada perpaduan masyarakat. Negara kita ibarat pokok dan rakyat ibarat akar, pokok tidak akan berdiri kukuh tanpa akar begitu juga negara kita. Jika rakyat bersatu padu, negara kita akan aman dan stabil. Dengan itu, perpaduan dapat dikekalkan. Negara kita pernah mencatatkan sejarah hitam selepas merdeka iaitu tragedi persalahfahaman antara kaum pada 13 Mei 1969. Tragedi ini meragut banyak nyawa dan perpaduan negara itu ibarat telur di hujung tanduk, Selepas terjadinya peristiwa hitam ini, kita mestilah sentiasa memastikan bahawa antara kaum dipelihara agar tragedi tidak berulang kembali.
Mata pelajaran Sejarah dapat melahirkan generasi muda yang lebih matang dan berfikiran waras. Subjek Sejarah dipenuhi kisah hidup masyarakat silam. Dengan itu, pelajar dapat melihat pelbagai perjalanan hidup, keputusan, dan tindakan manusia. Mereka juga dapat melihat pelbagai akibat daripada pelbagai perlakuan manusia. Semua hal itu akan menjadi panduan dan pengajaran supaya muda-mudi akan mengutip tindakan mulia dan menjauhi tindakan yang pernah membawa kepada kehancuran. Secara tidak langsung, hal ini dapat menimbulkan kesedaran dalam diri pelajar. Kesannya, mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menyumbang ke arah pembangunan negara kelak.
Di samping itu, pengajaran mata pelajaran Sejarah mampu mewujudkan jati diri dalam kalangan generasi muda. Sejarah mendedahkan ketinggian peradaban dan tamadun nenek moyang kita. Pelajar akan dapat melihat ketinggian nilai seni, adat resam, dan pemikiran mereka. Mereka turut akan sedar dan menghargai warisan bangsa sendiri. Bukan itu sahaja, mereka akan berasa bangga terhadap pencapaian dan kedudukan warisan sendiri. Natijahnya, golongan muda akan membentuk identiti diri dan tidak akan mengagung-agungkan budaya Barat. Tegasnya, Sejarah penting untuk membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda.
Kesimpulannya, mata pelajaran Sejarah terbukti mempunyai pelbagai kepentingan, terutamanya kepada para pelajar. Sejarah merupakan ilmu hidup yang memandu manusia untuk menjalani kehidupan yang sempurna. Di sebalik setiap lembaran teks sejarah, terkandung pelbagai pedoman hidup dan pengajaran bagi memandu generasi muda hari ini. Subjek ini harus diberikan perhatian sewajarnya oleh para pendidik, ibu bapa, dan pelajar. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlulah berusaha mencapai matlamat mata pelajaran Sejarah demi kesejahteraan dan keamanan negara.
Klik di sini untuk Sajak Kemerdekaan Usman Awang Klik Sini